TOKOH-TOKOH DI MALAYSIA III: IBRAHIM YAAKUB, BURHANUDIN HELMI & PENDETA ZAABA



7) IBRAHIM YAAKUB

Hasil carian imej untuk ibrahim yaakub KMM


Ibrahim Hj Yaakob atau IBHY lahir pada 27 November 1910 di Tanjung Kertau, Temerloh, Pahang - mati pada 8 Mac 1979 di Jakarta,Indonesia. Jenazah beliau disemadikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta. Pada batu nesannya, tercatat nama Iskandar Kamel Agastya. (IBHY), Leftenan Kolonel purnawirawan TNI-AD, NRP 26217.

Ibrahim Yaakob adalah presiden dan pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan tokoh politik Melayu pertama yang menentang kerajaan penjajah British. Matlamat Kesatuan Melayu Muda adalah mencapai kemerdekaan bagi Malaya melalui penyatuan bersama Indonesia di bawah konsep Melayu Raya/Indonesia Raya.  Sebagai pengasas Kesatuan Melayu Muda, dia menyambut baik dan bekerjasama dengan pihak Jepun kerana dia percaya Jepun akan memberikan kemerdekaan pada Malaya dan secara aktif membantu Jepun melalui aktiviti gerakan kelima.

Ibrahim dilatih selama enam bulan dan sebelum Jun 1944 dia dilantik sebagai Komandan Giyuugun dengan pangkat Leftenan Kolonel. Dengan bantuan tentera Jepun pasukan Giyuugun telah ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Sumatera. Ini menyebabkan Ibrahim Yaakob tidak dipercayai oleh pihak British dan mendorong Ibrahim Yaakob berhijrah dan menetap di Indonesia sehingga akhir hayatnya. Beliau merupakan tokoh terkenal di Tanah Melayu , pelbagai tempat bersejarah diletakkan bersempena nama beliau.


Keluarga

Ibrahim Yaakob berasal daripada keturunan Bugis, di Sulawesi Selatan. Ibu bapanya merantau ke Riau dan seterusnya ke Temerloh , Pahang sekitar tahun 1920-an. Ayahnya Haji Yaakob merupakan guru agama dan tokoh yang dihormati. Ibunya bernama Hawa binti Hussein. Ketika berusia 2 tahun, ibu bapanya bercerai. Beliau dipelihara oleh ibunya dengan hidup sederhana.

Pada batu nesan isterinya tercatat nama Maria Kamel bin H Siraj lahir 15 Disember 1920 dan meninggal dunia pada 20 November 2002. Sejarawan Cheah Boon Keng mencatat nama isteri Ibrahim Yaacob sebagai Mariatun Haji Sirat.


Pendidikan

IBHY mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Tanjung Kertau pada tahun 1918 ketika berusia tujuh tahun. Pada tahun 1928, beliau telah dipilih menjadi guru pelatih di Pusat Latihan Perguruan di Kuantan, Pahang.


Guru pelatih di MPSI

Antara tahun 1928–1931, IBHY menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak dan menerima semangat nasionalisme daripada Pendeta Zaba dan lain-lain. Pensyarah di situ mengajar tentang gerakan nasionalisme yang berkembang di India, Mesir dan Indonesia. Pensyarah yang lain ialah Abdul Hadi Hassan, Nurdin Haji Haron, Harun Mohd Amin (Harun Aminurrashid), Buyong Adil dan Abdul Rahman Muhyidin. Harun Mohd Amin telah menulis tentang kehebatan pemuda Melayu Panglima Awang yang mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan.

Surat khabar dari Indonesia seperti Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloeh Rakyat Indonesia, Semangat Islam, Seruan Azhar, Bintang Timur dan Bintang Hindia turut dibaca dan beredar di kalangan pelajar. 'Sumpah Pemuda' rakyat Indonesia menjadi ikrar persatuan.


Tulisan dan pengaruhnya

Tulisan beliau dalam surat khabar Majlis,Warta Malaya dan Utusan Melayu menyentuh tentang nasib orang Melayu dari segi ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan kaitannya dengan bangsa Cina dan Eropah serta dasar British di Tanah Melayu.


Pelbagai Persatuan

Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY dan rakan-rakannya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”. Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Beliau juga terlibat aktif dalam Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934, Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.


Menubuhkan Kesatuan Melayu Muda

Persatuan Belia Melayu yang pada asalnya bercorak sosial berubah kepada motif politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali sebagai Young Malay Union.

Pada 1939 pada usia 28 tahun, beliau menubuhkan secara rasmi [Kesatuan Melayu Muda] yang kebanyakannya terdiri daripada golongan guru Melayu lepasan MPSI. Persatuan ini menjurus kepada persatuan pemuda Melayu yang berasaskan ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an. Beliau sebagai pengasas menjadi Yang diPertua, Onan Haji Siraj sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Sultan Djenain dan lain-lain tokoh. Dr Burhanuddin Helmi menyertai KMM pada 1939. Dato Onn Jaafar yang akan mengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu menyertai KMM pada April 1942. Nama KMM diberikan oleh Sultan Djenain , seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM.

Tahun 1940, seusia 29 tahun, Ibrahim Yaakob telah menjadi nasionalis radikal yang mengagumi idealisme dan karisma Sukarno. Ketika Perang Pasifik meletus pada 7 Disember 1941, Ibrahim Yaakob telah ditangkap oleh pihak British tetapi dibebaskan pada 1942 oleh pihak Jepun setelah Jepun mendarat di Tanah Melayu. Tentera Jepun menubuhkan tentera Pembela Tanah Air (PETA) di pulau Jawa. Tetapi menubuhkan Giyuugun di pulau Sumatera dan di Tanah Melayu. Dia meninggal di Jakarta pada 8 Mac 1979. Komander tentera Jepun melantik Ibrahim Yaakob sebagai Leftenan Kolonel bagi pasukan tentera Giyuugun.

KMM tidak tertakluk kepada golongan bangsawan dan sesuai untuk golongan bawahan. Sementara Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin dikuasai oleh golongan bangsawan,slogan KMM ialah “satu untuk semua: semua untuk satu”.


Utusan menemui Sukarno

Ibrahim Yaacob telah mengutus tiga wakil KMM ke Jakarta untuk bertemu dengan Sukarno. Di Jakarta, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia membicarakan sempadan wilayah negara Indonesia. Wilayah Indonesia Raya terlalu luas iaitu meliputi bekas Hindia Belanda, Malaya, New Guinea, Borneo Utara dan Timor Timur Portugis. Muhammad Yamin telah mengehadkan Indonesia Raya sekadar bekas Hindia Belanda sahaja. Seramai 39 dari 66 anggota badan menyokong gagasan Indonesia Raya.


Pertemuan Taiping 1945

Pada 8 Ogos 1945 Sukarno, Mohammad Hatta, dan Radjiman Wediodiningrat terbang ke Saigon, Vietnam berbincang dengan Pemerintah Tentera Jepun Marshall Terauchi dan kembali ke Jakarta pada 13 Ogos 1945.

Dalam surat khabar Asia Raya, 16 Ogos 1945 Sukarno-Hatta menyatakan mereka menemui Leftenan Kolonel Ibrahim Yaakob dan beberapa pegawai Giyugun lain. Ketika pertemuan itu Ibrahim Yaakob mengatakan bahawa rakyat di Tanah Melayu ingin bersatu dalam negara Indonesia Raya.


Menjadi anggota Parlimen Indonesia

Sukarno merasa terhutang budi kepada Ibrahim Yaakob di atas semangat juang dan setiakawan orang Indonesia di Tanah Melayu. Lantas Sukarno mengajak Ibrahim Yaakob berjuang sahaja di pulau Jawa kerana mereka seketurunan - Bugis Jawa Indonesia.

Pada 15 Ogos 1945 Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki diledakkan dengan bom atom. PETA dan Giyuugun diperintah bubar oleh tentera Jepun dn senjata diserahkan.Gagasan Indonesia Raya terbatal dengan sendirinya. Pada 19 Ogos 1945, Ibrahim Yaakob meminta kapal terbang tentera Jepun untuk membawanya ke Jakarta. Ibrahim Yaakob terbang ke Jakarta bersama isterinya Mariatun Haji Siraj, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan.

Di Indonesia, beliau menukar nama kepada Iskandar Kamel dan menjadi pengurus Gerakan Kemerdekaan Malaya. Terbit bagi pihak KMM di Jakarta . Pejabatnya terletak di nombor 4 Jalan Kebahagian, Jakarta.


PKMM diharamkan

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengharamkan PKMM pada 1950 . Sedangkan KMM telah bergabung dengan PKMM dan sangat anti British dan anti pegawai-pegawai dalam Persekutuan Tanah Melayu.


Bertemu dengan Tunku di Jakarta

Pada November 1955, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu , Tunku Abdul Rahman bertemu dengan beliau di Jakarta ketika hendak berunding dengan Presiden Sukarno. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman baru sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri setelah Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya yang pertama pada tahun 1955. Tunku yang menerima pendidikan Inggeris di London berasa selesa jika Tanah Melayu merdeka dalam Komanwel British. Ini dilihat sebagai neo-kolonialime kerana Ibrahim Yaakob mahu Tanah Melayu bergabung dengan Indonesia dalam Indonesia Raya.

Sukarno sendiri tidak senang dengan pendirian Tunku yang dilihat sebagai 'boneka' British sahaja. Dengan pelbagai pengaruh lain termasuk Aidid dan Subandrio - komunis, Sukarno melancarkan 'Ganyang Malaysia' pada 1965.


Pengarah Bank Pertiwi

Ibrahim Yaakob mengundur diri dari arena politik apabila demokrasi terpimpin semakin kuat di Indonesia akibat pengaruh komunis. Peristiwa Gestapo 1965 amat memberi kesan kepada beliau. Ibrahim Yaakob menyertai sektor swasta sebagai pengarah Bank Pertiwi.


Kembali ke Malaysia

Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1970, barulah Ibrahim berpeluang kembali ke Malaysia pada 1973. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah 'digulingkan' selepas Peristiwa 13 Mei.


Kontroversi

Di Indonesia, tercetus kontroversi bahawa Timbalan Presiden, Adam Malik disyaki sebagai agen CIA kerana kerap ke Malaysia dan berjaya menamatkan 'Ganyang Malaysia' 1965 dengan mudah. Begitu juga kerakyatan Ibrahim Yaakob sehingga dilantik sebagai ahli parlimen Indonesia dan menukar nama kepada Iskandar Kamel. Ketika ditemu ramah di Malaysia pada 1973, beliau mengakui bahawa dia agen kepada British dan Jepun. Buku Mustapha Hussain (2005) menuduh Ibrahim Yaakob membawa wang dua guni dan ketulan emas ke Indonesia pada tahun 1945. Bagaimana dia mendapat wang yang banyak untuk membeli surat khabar Warta Malaya.

Sebagai seorang guru, Ibrahim Yaakob ada menulis buku bertajuk 'Nusa dan Bangsa Melayu' pada 1951. Beliau menafikan perjuangan KMM tidak berhaluan kiri mahupun radikal . Sebaliknya usaha menerapkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara.KMM adalah anti British dan anti feudal.


8) BURHANUDDIN HELMI

Hasil carian imej untuk WIKIPEDIA BURHANUDIN HELMI

Datuk Seri Dr. Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor (lahir 1911, Kota Bharu - meninggal 25 Oktober 1969, Taiping, Malaysia) merupakan bekas Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS).



Awal kehidupan

Datuk Seri Dr.Burhanuddin merupakan anak pertama dari pasangan Haji Mohamad Nor dan Sharifah Zaharah bt Habib Osman. Ayahnya berasal dari Batusangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat yang merantau ke Tanah Melayu pada tahun 1908, sedangkan ibunya berasal dari Malaka. Burhanuddin dilahirkan di Kota Bharu, Gopeng, Perak pada tahun 1911, dan belajar di Universiti Muslim Aligarh di India. Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Aljunied, Singapura.


Aktiviti selepas perang

Selepas Perang Dunia II, Burhanuddin menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris, dan Dr. Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan "kesatuan politik" Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.


Presiden PAS

Pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpindah tangan kepada Burhanuddin pada tahun 1956, hingga kematiannya pada tahun 1969. Di bawah kepimpinan Burhanuddin, PAS mempunyai orientasi menyokong kesatuan sekerja dan anti-kolonialisme. Beliau digambarkan sebagai seorang "nasionalis radikal dan pemikir Islam". Kepemimpinannya terpotong oleh penangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1965, dan selanjutnya dipenjara selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia.


Meninggal Dunia

Datuk Seri Dr.Burhanuddin meninggal dunia pada tanggal 10 Oktober 1969 akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang beliau terima semasa dalam tahanan ISA.

Garis masa

Tahun
Peristiwa
Catatan
1911
·         Burhanuddin dilahirkan sebagai anak pertama pasangan Haji Mohamad Noor dan Sharifah Zaharah bt Habib Osman di Kampung Changkat Tualang, Mukim Kota Bharu, Gopeng, Perak.
·         Hj Mohamad Noor berasal dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau Sumatera dan telah datang ke Perak pada tahun 1908
·         Sharifah Zaharah berasal dari Melaka
1926
·         Menyambung pelajaran di sekolah agama kelolaan Syeikh Mohamad Khatib Minangkabau di Sungai Jambu, Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera
·         Bertukar belajar di sekolah pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah
·         Hanya bertahan selama 6 bulan di Sungai Jambu kerana cara belajar mengikut 'sistem tadah' tidak disukai oleh Burhanuddin
·         Hanya bertahan selama sebulan di Pulau Pisang kerana cara belajar masih mengikut 'sistem tadah'
1927
·         Menyambung pelajaran di Madrasah al-Masyhor, Pulau Pinang
1934
·         Melanjutkan pelajaran di Universiti Aligrah, New Delhi, India di dalam bidang falsafah dan sastera.
1942-1945
·         Menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam & Adat Istiadat Melayu ketika pendudukan Jepun
1950
·         Ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura
1956
·         Menyertai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Kemudian, dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS ke-3 menggantikan Dato' Dr Haji Abbas Alias
1959
·         Menang Kerusi Parlimen Besut, Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1959
1964-1966
·         Ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kononnya menjadi ejen Indonesia dan terlibat dengan kegiatan menentang penubuhan Malaysia
·         Jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Agung PAS dipangku oleh Naib Yang Dipertua Agung, Mohd Asri Haji Muda
·         Dibebaskan pada 1966 namun dikenakan tahanan terhad.
25 Oktober 1969
·         Meninggal dunia akibat penyakit lelah.




9) PENDETA ZAA`BA

Hasil carian imej untuk WIKIPEDIA PENDETA ZAABA


Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.


Kehidupan awal

Ayahnya berketurunan Bugis Linggi adalah seorang yang berharta, berpengetahuan agama dan satu-satunya penduduk kampung itu yang pandai membaca dan menulis ayat dalam tulisan Jawi. Ibunya meninggal dunia ketika Zaaba berumur 12 tahun.


Pendidikan

Zaaba menerima pendidikan awal di rumahnya sendiri. Beliau diajar untuk mengaji al-Quran dan membaca sejak berumur lima tahun. Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Disebabkan beliau sudah bijak membaca, menulis jawi dan rumi, beliau ditempatkan dalam darjah tiga. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.


Kerjaya awal

Zaaba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916 di English College, dan kemudiannya bertukar ke:

1918: Kolej Melayu Kuala Kangsar
1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur
1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942
1942: Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951
1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.

Zaaba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.


Kerjaya politik

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1943, Zaaba sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Tentera British datang semula ke Tanah Melayu. Oleh sebab itu, mereka menubuhkan Malayan Union. Penubuhan ini ditentang oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Penentangan tersebut diketuai oleh Dato' Onn Jaafar dan menubuhkan UMNO sebagai usaha untuk menyatupadukan bangsa Melayu. Zaaba dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang pertama namun jawatan tersebut tidak kekal lama kerana beliau lebih berminat dengan bidang penulisan dan Bahasa Melayu.


Penghargaan

Untuk menghargai jasa beliau, Zaaba telah dianugerahkan:

1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya
1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri


Meninggal dunia

Kesihatan Zaaba semakin terjejas apabila umurnya semakin meningkat. Akhirnya pada 23 Oktober 1973, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pemergian beliau sebagai seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sumbangan beliau terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya.

Ulasan