TOKOH-TOKOH DI MALAYSIA IV: PROF DATO' (DR) UNGKU OMAR




10) Prof. Dato` (Dr.) Ungku Omar

Hasil carian imej untuk ungku omar


Profesor Dato` (Dr.) Ungku Omar bin Ahmad dilahirkan di johor Bharu pada 18 Januari 1931 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kluang, Segamat Pontian, Tangkak di samping Sekolah Agama sehingga darjah enam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum meneruskan pelajaran di Universiti Malaya Singapura dengan Ijazah Perubatan dan Bedah pada tahun 1957.

Sebaik sahaja tamat pengajian (selepas menjalani housemanship di Johor Bahru) beliau terus berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dan Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Pada tahun 1961 beliau telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya memperolehi Diploma dalam bahagian Patologi (iaitu ilmu perubatan yang mengkaji sebab-sebab, tanda-tanda dan cara-cara mengubati penyakit) dari Royal College of Physician London dan Royal College of Surgeons England pada tahun 1962.

Dalam tahun yang sama beliau telah berkhidmat sebagai Pendaftar di Jabtan Patologi di Royal Free Hospital, School of Medicine, London. Dua tahun kemudian beliau telah berkhidmat sebagai Pendaftar Kanan di Jabatan yang sama dan diterima menjadi ahli College of Pathologist, London.

Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini tidak berhenti di situ sahaja malahan beliau telah menunjukkan keupayaan yang begitu gigih pada tahun 1965 apabila beliau telah berjaya mendapat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam Clinical Chemistry dengan tesis yang bertajuk `Electrolytes in Isolated Human Lecocytes`. Pada tahun yang sama beliau telah diterima menjadi ahli Institute of Biology, London dan dua tahun kemudiannya (1967) College of American Pathologist Amerika Syarikat menerima beliau sebagai Ahli Kehormat Kolej tersebut.

Dengan itu selesailah pengkajian beliau dalam bidang ilmiah untuk muncul sebagai seorang anak Melayu mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang perubatan dan penyelidikan.

Kecerdasan Profesor Dato` (Dr.) Ungku Omar terserlah sejak beliau berada di bangku sekolah lagi. Semasa di Maktab Melayu Kuala Kangsar, beliau pernah menjadi Ketua Murid dan pada tahun 1948, beliau sudah menghadiri Jambori Pengakap-pengakap di Melbourne, Australia. Begitu juga semasa melanjutkan pelajaran beliau ke Universiti Malaya, beliau terus diterima ke tahun dua. Oleh kerana kejayaan beliau yang cemerlang dalam mata pelajaran Anatomi (Kajibina Tubuh), beliau telah terpilih sebagai Student Demonstrator dalam mata pelajaran ini pada tahun 1954.

Kepintaran dan kecerdasan yang dimiliki oleh Prof . Dato` (Dr.) Ungku Omar Ahmad ini terus digunakan semasa beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 1965. Beliau merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan tersebut.

Di bawah pucuk pimpinan beliau yang tidak mengenal penat dan lelah itu Pusat Penyelidikan Perubatan menjadi terkenal dan penting tidak sahaja kepada negara-negara di Asia Tenggara, bahkan menjadi tumpuan negara-negara di seluruh dunia. Ini terbukti apabila segala hasil penyelidikan mengenai kesihatan dan perubatan yang diusahakan oleh beliau disiarkan dan diterbitkan oleh makalah-makalah penyelidikan dan kesihatan di peringkat kebangsaan.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan beliau pernah menggemparkan dunia dengan hasil penyelidikannya mengenai taraf kesihatan penduduk-penduduk di luar bandar yang telah diabaikan. Kadar kematian di luar bandar yang enam kali ganda lebih tinggi berbanding di bandar yang berkait rapat dengan penyakit-penyakit malaria, kepialu, untut dan berbagai penyakit lain telah menimbulkan kesedaran yang mendalam kepada semua pihak. Perjuangan beliau ini bukan sahaja disanjung oleh rakyat jelata bahkan mendapat perhatian di peringkat dunia.

Sebagai seorang intektual, beliau telah menghasilkan lebih dari 40 kertas kerja yang meliputi karya-karya sains dalam bidang pengkhususan beliau, kertas-kertas ceramah mengenai keadaan kesihatan di luar bandar terutama sekali mengenai masalah pembasmian malaria sehinggalah kepada tajuk-tajuk semasa ketika itu seperti penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, konsep universiti Islam, peranan belia di negara membangun dan usaha-usaha untuk membentuk istilah perubatan dalam Bahasa Melayu.

Kesedaran serta perjuangan beliau tidak sahaja diluahkan melalui kertas-kertas kerja atau pidato umum bahkan beliau turut memberi ceramah–ceramah mengenai kesihatan dan sains menerusi Radio Malaysia dan kerana itu beliau juga dikenali sebagai ‘Doktor Radio`.

Di dalam bidang perubatan, beliau bergiat cergas dan memegang jawatan-jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan dengan kesihatan seperti pembasmian malaria, Makmal Perubatan dan Kesihatan, Tabung Darah Kebangsaan serta mengambil bahagian aktif dalam Persatuan Perubatan Alumni, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Parasitologi Malaysia. Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Kebangsaan Khas Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Kebangsaan Penyakit Kusta, Ahli Lembaga Perubatan Rumah Sakit, Ahli Lembaga Jawatankuasa Istilah Kimia dan Perubatan Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli Standard Institute of Malaysia.    

Di samping itu, beliau adalah ahli rasmi Mahkamah Universiti Malaya, Pengerusi Majlis Kolej Islam sejak tahun 1967 dan bertanggungjawab di dalam penubuhan Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya serta tidak kurang penting tenaga yang dicurahkan dalam Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak ketinggalan, beliau turut bergiat aktif dalam bidang Bahsa Sastera dan Budaya dan merupakan salah seorang anggota ASAS 50 dan tidak ketinggalan menghadiri perbincangan –perbincangan yang diadakan oleh angkatan ini semasa kemuncak kegiatan-kegiatan mereka. Banyak daripada rencana-rencana kreatif beliau termuat dalam majalah-majalah Mastika dan Dewan Masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau telah mewakili Malaysia ke pelbagai persidangan seperti di Australia, Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Filipina, Republik Rakyat China dan Singapura dalam bidang-bidang penyeidikan perubatan, Lembaga Penyelarasan Kerjasama Seratau dalam Perubatan Tropika (SEAMAS) dan Pertubuhan Kesiahatan Sedunia (WHO).

Di atas sumbangan dan jasa-jasanya yang begitu banyak dalam berbagai bidang, beliau telah dikurnaiakan Darjah Setia Mahkota oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada bulan Jun 1967 dan pada Oktober D.Y.M.M Sultan Johor pula mengurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati manakala pada tahun 1968 beliau dianugerahkan gelaran Profesor oleh pihak Universiti Indonesia.

Prof. Dato` (Dr) Ungku Omar Ahmad berkahwin dengan sepupunya Tengku Khatijah Sulaiman pada tahun 1952 dan dikurniakan dengan enam orang anak, lima orang anak  perempuan dan seorang anak lelaki.

Di saat-saat Negara bangsa dan keluarganya masih dahagakan kepimpinan beliau, Prof. Dato` (Dr.) Ungku Omar Ahmad kembali ke rahmatullah pada 15 Februari 1969 dalam usia yang masih muda iaitu 38 tahun.



11) Dr Tun Ismail

Hasil carian imej untuk wikipedia tun dr ismail

Allahyarham Tun Dr Ismail bin Dato' Haji Abdul Rahman (4 November 1915 - 2 Ogos 1973) merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak. Beliau juga mempunyai abang yang bernama Dato' Shamsuddin Abdul Rahman.



Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru, Johor. Beliau berasal dari keluarga yang berstatus elit. Bapanya, Dato’ Abdul Rahman bin Mohd. Yassin pernah bekerja sebagai kerani, pesuruhjaya daerah, majistret dan bendahari negeri. Bapa beliau juga adalah Speaker Dewan Negara yang pertama. Bapanya juga berperanan untuk menubuhkan Persatuan Melayu Johor yang fungsinya adalah untuk menentang Malayan Union. Sebagai ketua Orang Tujuh, mereka menuntut Sultan Ibrahim meletak jawatan sebagai Sultan Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.


Pendidikan

Anak kelahiran Johor Bahru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran di English College, kedua-duanya di Johor Bahru. Setelah lulus dengan cemerlang dalam pendidikan peringkat menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke King Edward College of Medicine, Singapura dari tahun 1936 hingga 1939. Setelah itu, beliau telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Queen's College Melbourne University, Australia sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan tahun 1945. Beliau mendapat penghargaan dan menjadi kebanggaan negara kerana menjadi anak melayu pertama lulus Ijazah Perubatan dari University tersebut. Sekembali ke

Tanah Air, beliau menyertai Jabatan Kesihatan Johor buat seketika dan kemudian membuka klinik perubatannya sendiri yang dikenali sebagai Tawakkal di Johor Bahru.


Jawatan semasa hayat

Beliau terdorong untuk menceburi politik selepas perletakan jawatan Dato' Onn Jaafar sebagai Presiden UMNO dan digantikan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menceburkan arena politik setelah dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1951.

Beliau merupakan duta pertama dari Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 1957. Beliau juga diberikan pentauliahan untuk menjadi duta negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Jawatan ini dipegang oleh beliau sehingga tahun 1959.

Beliau pernah menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 1 September 1960 sehingga 21 Mei 1967, apabila beliau meninggalkan kabinet atas sebab-sebab kesihatan. Kekosongan jawatannya sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah diisi oleh Tun Abdul Razak.

Beliau sekali lagi dilantik oleh Tun Abdul Razak menjadi menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada 14 Mei 1969 berikutan peristiwa berdarah 13 Mei. Tun Abdul Razak mempengerusikan MAGERAN dan meminta beliau untuk menjadi Timbalan Pengarah MAGERAN (Mei 1969-Februari 1971). Beliau kembali menjawat jawatan Kabinet dan kekal sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri sehingga 1 Ogos 1973.

Semasa hayat beliau, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Jawatan terakhir yang dipegang oleh beliau adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua selepas Tun Abdul Razak pada 1970.

Jasa yang paling besar dilakukan oleh beliau adalah mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Malaysia. Berikut merupakan kata-kata yang dikeluarkan oleh Tun Suffian mengenai jasa beliau:

“It was during the agonising days that his outstanding qualities came to the fore. Perhaps it can be said that more than anybody else the Tun contributed substantially to the restoration of public confidence in the Government's determination to restore law and order after the May 13th incidents.”


Meninggal dunia

Pada 2 Ogos 1973, beliau meninggal dunia dan dimakamkan di Makam Pahlawan, Masjid Negara dan menjadi pemimpin pertama yang disemadikan di situ.


Ungkapan terkenal

“              Jangan sapu ke bawah permaidani.         ”

Ini adalah ungkapan popular beliau. Peribahasa ini timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif tetapi cuba ditutup begitu sahaja sehingga akhirnya tercetus Peristiwa 13 Mei.


Penghormatan

·    * Pidato Tun Dr. Ismail diadakan sekali setiap dua tahun oleh Akademi Perubatan Malaysia untuk memperingati beliau. Pidato ulung itu telah diberikan oleh Yang Amat Arif Tun Mohamed Suffian bin Mohamed Hashim, Ketua Hakim Negara pada bulan Ogos 1974.
·       * Sebuah tempat di kawasan Segambut, Kuala Lumpur telah dinamakan Taman Tun Dr. Ismail sebagai memperingati jasanya.
·        * Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) di UTM Skudai sempena memperingati jasa beliau kepada negara.
·        * Kolej Tun Dr. Ismail di UPM, Serdang dinamakan untuk memperingati beliau.
·     * Kolej kediaman Tun Dr. Ismail di UTHM, Batu Pahat juga diberikan dengan menggunakan nama beliau
·   * Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail di UKM, Cheras (PPUKM) mengambil nama beliau sempena memperingati jasa beliau sebagai seorang doktor dan negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air ini
·       * Tanda Putera (sebuah filem yang mengisahkan persahabatan beliau bersama Tun Abdul Razak)




12) TUN SYED NASIR

Hasil carian imej untuk TUN SYED NASIR


Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail merupakan ahli politik UMNO di Malaysia.

Biodata

Syed Nasir dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 7 Mac 1921 dan meninggal dunia pada 1982. Beliau berasal dari Johor dan berketurunan Syed yang dikaitkan dengan keturunan Nabi Muhammad di tanah Hadramaut / Arab. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Tinggi, Batu Pahat dan lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1938.

Beliau memulakan kerjaya sebagai nazir sekolah-sekolah Negeri Johor dan seterusnya memegang jawatan sebagai Pengarah Pelajaran Malaya. Pada tahun 1957-1968, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai usaha dijalankan oleh beliau untuk menjadikan bahasa melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita.

Semasa menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka , berlaku peristiwa Keranda 152 . Kebanyakan buku teks yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu ada kata pengantar daripada Tun Syed Nasir Ismail. Tahun 1970-an, semua buku teks dicetak dan dibekalkan oleh DBP. Bahasa Melayu digunakan sebagai meluas selaraskan dengan Penyata Razak.

Beliau turut menerajui Lembaga Padi dan Beras Negara pada tahun 1972. Di antara jasanya dalam bidang sosial dan kemasyarakatan ialah menjadi Pesuruhjaya Persatuan Pengakap dan Majlis Pusat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia. Manakala dalam bidang Pendidikan dan Bahasa pula beliau terlibat sebagai Jawatankuasa Pemandu Pembentukan UKM dan dilantik menjadi Procanselor pada tahun 1978.

Dalam bidang keagamaan pula, belia memegang jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Pusat Musabaqah Al-Quran peringkat kebangsan dan antarabangsa sebanyak 15 kali. Di samping merupakan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah dan Presiden Yayasan Mubaligh Islam.

Beliau telah dianugerahankan pingat kepujian pengakap oleh Sultan Johor pada tahun 1957 dan beberapa darjah kebesaran antaranya Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) pada tahun 1970, Panglina Mangku Negara (P.M.N) pada athun 1971 dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) pada tahun 1982 yang membawa gelaran Tun. Manakala UKM telah menganugerahi beliau Ijazah Doktor Persuratan pada tahun 1978.

Beliau pernah menjadi Speaker Dewan Rakyat. Semasa menjadi speaker , beliau pernah sendiri ke Kem Tahanan Kamunting untuk majlis angkat sumpah dua orang ahli parlimen DAP yang ditahan di bawah ISA.


Keluarga

Anaknya Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir merupakan seorang usahawan yang terkenal. Antara perniagaan beliau yang terkenal ialah Hardrock Cafe.


Penghargaan

·         * Sebuah sekolah di Johor Bharu telah dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Nasir
·         * Biasiswa Tun Syed Nasir diperkenalkan oleh DBP sejak 1992 untuk pelajar yang layak.


Meninggal dunia

Beliau meninggal dunia pada 1982. Makam beliau terletak di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara, Kuala Lumpur.



Ulasan