Pantun Diri


Assalamualaikum dan salam sejahtera :)

Semasa Semester 1, antara subjek yang saya ambil adalah Citra Penulisan Pantun Kreatif. Terdapat beberapa tugasan yang perlu dibuat, walaupun agak senang namun boleh buat pening kepala juga kalau suka tangguh-tangguh. huhu.

Jadi, saya hendak share sedikit antara tugasan diberikan iaitu Pantun Diri. Kami perlu mencipta pantun sendiri berkenaan diri masing-masing. Saya takde lah pandai mana nak mereka pantun, tapi kalau buat sikit-sikit tu bolehlah ;)


PANTUN DIRI



Melati kuntum tumbuh di taman,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalamualaikum mulanya ucapan,
Mohon sembah pembuka bicara.

Masuk hutan mencari cendana,
Tersepak akar banir batang berduri,
Teman ingin mulakan cerita,
Umi Hanisah nama empunya diri.

Padang Kota hingar sekali,
Turun bendahara periksa dermaga,
Dini hari lahirlah si puteri,
Zuriat pertama tautan keluarga.

Tali perkasa dahan terikat,
Lebat daunnya si pohon remiri,
Dua belas Februari tarikh keramat,
Tarikh lahirnya empunya diri.

Mudik hulu pergi ke tanjung,
Tepi tanjung tumbuh rumbia,
Hospital bertuah Hospital Sri Manjung,
Tempat mula teman  melihat dunia.

Tudung saji hanyut terapung,
Hanyut terapung hingga hujung pekan,
Teman umur baru setahun jagung,
Silap salah mohon diperbetulkan.

Anak kecil mencari bunga kantan,
Jumpa di celahan pokok api-api,
Teringin perkenal negeri asal teman,
Perak Darul Ridzuan gelaran diberi.

Nyiur kelapa buahnya jatuh di tepian,
Daunnya hijau melambai-lambai,
Walaupun kita orang tajam pikiran,
Tiada gunanya jika keluarga diabai.

Hujung muara lebatnya rumbia,
Pulang bertiga di kala malam,
Keluarga teman enam ahli semuanya,
Dua hawa dikelilingi empat adam.

Mega berarak berbalam indah,
Dipuput bayu ke pohon mangga,
Ratu hati namanya Salamiah,
Haris pula adalah bupati keluarga.


Makan berulamkan daun pegaga,
Petik dahulu si daun maman,
Kasih bonda membawa ke syurga,
Kasih ayahanda sentiasa berkekalan.

Banyak sungguh keluk ke penarik,
Pohon berangan tempat bertamu,
Ayahanda teman kerjanya pendidik,
Mengajar anak watan tanpa kenal jemu.

Terapung-apung si bunga melati,
Diambil anak kecil letak ke para,
Ibu  teman suri rumah sejati,
Hebat melakukan banyak perkara.

Guna bubu serkap ikan baronang,
Bubu dijemur tengah halaman,
Melancong hobi teman tika lapang,
Agar dapat timba banyak pengalaman.

Padi menguning di tengah sawah,
Laksana emas indah warnanya,
Kita dibimbing di waktu sekolah,
Ilmu yang luas besar gunanya.

Di atas dahan sarang burung tempua,
Pokok ara tempat pemudi bertemu,
Dari pra sekolah hingga ke darjah dua,
SK Sungai Rusa tempat teman tadah ilmu.

Belayar Laksamana ke Pulau Bali,
Pergi ke pasar membeli maruku,
Sekolahku ceria indah sekali,
SK Kayan sekolah kebanggaanku.

Merah masak si buah berangan,
Nakhoda bawa pula ke Pulau Seguntang,
Lima tahun cukup sudah telaah pelajaran,
Alhamdulillah UPSR teman capai dengan gilang.

Daun sirih ulam dari Sunda,
Makan sekapur lalu mati,
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk ikut resmi padi.

Terbang di awan burung jentayu,
Menilik si anak desa bermandi-manda,
SBPI Gopeng tempat menimba ilmu,
Sabar dan ikhlas itu sentiasa pesan bonda.


Kayu papan dari meranti,
Tanh gambut menatap suria,
Masa depan sedang menanti,
Sambutlah dengan penuh ceria.

 Syair indah kerana rima,
Direnungi dan ditelaah para ilmuan,
Ilmu dunia jadi utama,
Ilmu agama jangan pula dipinggirkan.

Ribu-ribu jalan ke Padang Rengas,
Bawa si landak  batu geliganya,
Lima tahun belajar belum puas,
Sambung Tingkatan Enam ke SMIS pula.

Timba suasa di tepi bagan,
Buat menyimbah si tuan puteri,
Berputus asa sesekali jangan,
Jadikan tabah pakaian diri.

 Alunan seruling terdengar nian indah,
Senandung digubah buat kekasih hati,
Impian hati  ingin kecapi jadi pensyarah,
Agar dapat berbakti pada anak pertiwi.

Jambu subur jambu pertukal,
Tumbuh rendang lebat buahnya,
Ilmu itu kekayaan yang kekal,
Penyuluh hidup kuasai dunia.

Duduk bersantap lima budiman,
Sayang santapan lupa dibagi lada,
UKM Bangi menara gading pilihan,
Datang membawa harapan ayah bonda.

 Masuk belantara menjinak burung cecawi,
Hijau nampaknya Bukit Barisan,
Kos pilihan teman kos Ekonomi,
Di bawah Fakulti Ekonomi & Pengurusan.

Pucuk pauh tengah pokok mengkudu,
Petik beberapa tangkai simpan dalam kain,
Tiga tahun lamanya menimba ilmu,
Moga dapat dimanfaat nanti sebaik mungkin.

Lebat kemiri tumbuh tepi kali,
Seri pagi tumbuh pula melata,
Sedikit sahaja mampu teman kongsi,
Doakan  tercapai kejayaan yang dicita.





Ulasan