Tempat-tempat Menarik di Manjung II




12. Pulau Pangkor

Pulau Pangkor yang boleh diakses dari Jeti Lumut ini menempatkan banyak khazanah alam yang dapat mengujakan anda sekeluarga. Pantai-pantai di sini  yang cukup terjaga, berpasir putih bersih dapat memukau sesiapa sahaja yang memandang.

Setelah puas menikmati pemandangan sekitar Pulau Pangkor, anda boleh melawat kawasan perkampungan di sekitarnya dengan menyewa motosikal ataupun basikal untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan kampung yang penuh harmoni. Di sekitar bandarnya pula anda boleh mendapatkan pelbagai jenis buah tangan untuk dibawa pulang.

Apa pun perancangan anda setelah tiba di Pulau Pangkor, jangan lupa sama sekali untuk mencuba ikan bakar di warung tepi pantainya. Makanlah sambil menikmati pemandangan matahari terbenam, cukup mengasyikkan.


13. Taman Eko-Rimba Pasir Panjang

Lokasinya adalah 7 km dari Pekan Segari dalam Daerah Manjung melalui Jalan Lumut - Pantai Remis. Hutan Lipur Pasir Panjang terletak di persisiran pantai Selat Melaka, di Hutan Simpan Segari Melintang yang merupakan jenis hutan bukit pantai.
Taman Eko-Rimba Pasir Panjang terletak di daerah Kinta, Perak. Kemudahan yang disediakan adalah seperti pondok rehat, tapak perkhemahan dan tandas.


14. Batu Bersurat Pulau Pangkor

Jika anda ke Kota Belanda jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri Batu Bersurat berhampiran dengan kota tersebut, terletak kira-kira 100 meter dari pantai. Pengunjung dapat melihat dengan lebih jelas batu besar terpahat dengan lukisan seolah-olah harimau sedang mencederakan seorang budak, dua bulatan berbentuk daun serta perkataan-perkataan Belanda dan Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743”. Di mana tahun yang tercatat merupakan tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor. Jika dari Kota Belanda anda boleh berjalan kaki sahaja kerana jaraknya yang dekat. Selain daripada faktor sejarah, suatu yang unik tentang batu ini juga dikatakan oleh penduduk tempatan bahawa batu ini hidup kerana mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil dengan panjang 10.7 meter, lebarnya 4.6 meter dan berketinggian 4.3 meter.


15. Pusat Pengurusan Penyu Segari

Pusat Pengurusan Penyu Segari merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak yang terletak di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak. Merupakan pusat pemuliharaan haiwan terancam ini sebelum dilepaskan ke dalam laut. Dua jenis penyu yang mendarat di Pusat ini adalah Penyu Lipas dan juga Penyu Agar. Jika pengunjung ingin melihat aksi penyu mendarat boleh berkunjung ke sini sekitar bulan Mac hingga Julai. Di sini pengunjung dapat melihat pameran mengenai penyu dan kitaran hayat mereka, melawat tapak penetasan penyu, kolam penyu dan melihat perlepasan anak-anak penyu ke dalam laut.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00am – 5.00pm) (12.30am – 2.00pm)


16. Pulau Giam

Pulau Giam merupakan salah satu daripada pulau-pulau kecil di Pangkor, sering menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan aktiviti seperti snorkelling dan berkayak. Pengunjung boleh menyewa kayak dengan harga RM10.00 per sejam untuk berkayak dari Teluk Nipah ke Pulau Giam. Aktiviti ini pasti mengujakan para pengunjung kerana dapat melihat air laut yang jernih seakan kristal, dengan pelbagai jenis hidupan laut serta terumbu karang yang banyak terdapat di sini. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti berkelah dan bersantai sepanjang pantai. Selain itu, tarikan utama di sini ialah terdapat batu besar di tepi pantai yang menyerupai penyu dan kepala buaya.


17. Pulau Sembilan

Pulau Sembilan merupakan antara 9 buah pulau kecil yang terletak di daerah Manjung, Perak. Pulau ini menjadi tumpuan dan tarikan kepada pelancong untuk mencuba aktiviti memancing, snorkelling atau scuba driving. Di Pulau ini juga pengunjung dapat melihat terumbu karang dan pelbagai jenis hidupan marin yang eksotik. Bagi anda yang ingin bermalam di sini jangan risau kerana terdapat kemudahan perkhidmatan sewa khemah dan juga pondok kecil untuk berehat dan melihat keindahan persekitaran pantai ini. Pulau Sembilan juga terkenal dengan ‘blue tears’ yang dapat dilihat pada malam hari hasil daripada bioluminescent phytoplankton.


18. Pantai Pasir Panjang

Salah sebuah pantai di Segari yang merupakan pantai paling panjang di Daerah Manjung. Pantai sepanjang 6 kilometer ini menjadi tempat untuk penyu bertelur disebabkan permukaan  pasir pantainya yang halus, pohon yang merimbun dan bebas daripada gangguan. Lokasi ini juga dikawal selia oleh sebuah pusat pemuliharaan iaitu Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menjaga kesinambungan kehidupan penyu. Selain itu, Pantai Pasir Panjang juga merupakan tempat yang strategik untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.


Sumber


Ulasan