TOKOH-TOKOH DI MALAYSIA II: Tun Hussein Onn, Ibu Zain & Aminuddin Baki



4) Tun Hussein Onn

Hasil carian imej untuk tun hussein onn

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Seri Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.

Pendidikan

Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.

Latar belakang

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara daripada perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Politik

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Walau bagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri daripada UMNO, beliau kemudiannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena politik, tetapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.

Kebangkitan untuk berkuasa

Beliau kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak.[1]

Peranan dan sumbangan

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian daripada Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan rakyat di seluruh negara ini.

Berikutan itu, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari, beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru. Sebagai seorang pemimpin, beliau arif tentang hal ehwal keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesar dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu rantau di Asia Tenggara telah menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis. Semasa pentadbirannya pada temboh darurat, usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar telah diperhebat malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengnitipan yang dikatakan berjaya.

Beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang menyebabkan Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketengahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Walaupun pada ketika itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981. Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan
Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara. Keamanan negara yang diperkukuhnya telah menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh.

Akibat kesihatan beliau yang merosot, beliau menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri daripada kepimpinan negara. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981. Selepas beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS semasa hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Selepas persaraan

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan beliau dengan Tun Dr. Mahathir menjadi buruk kerana beliau menyokong "Team B" bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, beliau dan Tunku telah menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Tun Dr. Mahathir.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Keistimewaan

Beliau ialah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman dalam bidang ketenteraan telah menjadikan beliau sebagai seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Beliau telah memberikan kebebasan kepada akhbar dan majalah untuk melontarkan kritikan dan ulasan dengan harapan bahawa perkara itu akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Beliau ialah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Beliau juga terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur. Dalam sejarah, beliau akan sentiasa dikenang sebagai "Penyambung Warisan Yang Terbilang". Usaha beliau dalam memupuk semangat perpaduan antara berbilang kaum telah berjaya dicapai dalam konteks masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya serta pogram pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Malah, beliau juga telah mewariskan pentadbiran kerajaan serta UMNO kepada Tun Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan begitu kukuh pada ketika itu.

Garis masa

1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.
1942 (umur 20): Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
1945 (umur 23): Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
1946 (umur 24): Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
1950 (umur 28): Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
1951 (umur 29): Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.
1958 (umur 36): Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
1964 (umur 42): Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
1969 (umur 47): Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.
1970 (umur 48): Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
1972 (umur 50): Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
1973 (umur 51): Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
1976 (umur 54): Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
1978 (umur 56): Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.
1981 (umur 59): Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.
1990 (umur 68): Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.


5) Ibu Zain

 Hasil carian imej untuk ibu zain

Tan Sri Hajjah Zainon bte Munshi Sulaiman (22 Januari 1903 - 2 April 1989) atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain merupakan tokoh pendidik dan politik wanita terkenal.

Biografi Ringkas

Ibu Zain dilahirkan di Nyalas, Melaka. Ibu Zain merupakan anak ke-6 dari lapan adik beradik. Ayahnya, Munshi Sulaiman berasal dari Tanjung Pinang, Riau. Ibu Zain bertuah kerana Munshi Sulaiman mempunyai kesedaran yang tinggi peri pentingnya pendidikan di kalangan anak-anaknya, tidak kira lelaki mahupun perempuan. Malah, ayahnya melanggar tradisi masyarakat Melayu ketika itu yang melarang anak perempuan dari belajar, selain daripada belajar mengaji Al-Quran. Munshi Sulaiman merupakan seorang guru agama Islam dan Bahasa Melayu. Guru bahasa pada masa itu digelar 'munshi'. Daripada beliaulah, Ibu Zain mendapat pendidikan tidak formal.

Pendidikan

Seorang anak kecil yang cergas dan cerdas akal, Zainun gigih menimba ilmu. Ketika mengikut ayahnya menetap di Melaka, beliau belajar di Methodist Girls School, Tengkera (1909 - 1912) diikuti Tengkera School (1913 - 1915) sehingga lulus Junior Cambridge. Suatu pencapaian yang tidak ramai mampu gapai, khususnya di kalangan anak gadis. Lebih membanggakan Ibu Zain mampu mempertahankan akidahnya yang terdidik dari kecil ketika ditawarkan menjadi mubaligh Kristian.

Kejayaan yang dicapainya dikongsi pula dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis kerana ilmu merupakan kunci yang membentuk jati diri beliau sendiri. Semuda usia 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Kerjaya

Sejak itu, beliau semakin mendapat perhatian. Pada tahun 1921, beliau berhijrah ke Muar untuk berkhidmat di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Tahun 1924, beliau dilantik menjadi Guru Besar sekolah yang sama. Kemudiannya, dilantik menjadi Guru Pelawat/Penyelia bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh negeri Johor. Di sana, beliau mengasaskan sekolah agama petang dan menjadi penyelia kegiatan tersebut. Selain itu, sekolah tersebut juga menjadi sekolah agama perempuan yang pertama di Johor.

Ibu Zain juga aktif dalam persatuan. Beliau adalah antara mereka yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Guru-Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor. Kewibawaan beliau menambat keyakinan ahli, untuk melantiknya sebagai Presiden pertama persatuan itu. Beliau juga menubuh dan menyandang jawatan Yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu selama 19 tahun sejak tahun 1930.

Di antara tahun 1929-1941, Ibu Zain menghasilkan majalah untuk wanita, bergelar "Bulan Melayu". Dengan daya juang yang tinggi, beliau merupakan salah seorang perintis UMNO dan Ketua Kaum Ibu, UMNO (sekarang Ketua Wanita UMNO).

Politik

Ibu Zain turut aktif dalam bidang politik. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili parti UMNO pada tahun 1948. Berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang lain, Ibu Zain lebih suka bercakap soal pendidikan. Pada tahun 1959, beliau dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan.

Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar tersebut. Lebih mengejutkan, beliau mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh sebulan sahaja.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat. Ternyata usaha beliau membuahkan hasil. Pada tahun yang sama 10 Mac 1963 beliau dilantik sebagai Pengetua Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam.

Ibu Zain turut memainkan peranan dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Beliau terlibat dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956, sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958.

Pilihan raya 1959

Beliau merupakan ahli politik Perikatan/ UMNO di Malaysia. Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Pontian Selatan, negeri Johor (1958-1964).
Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.

Anugerah

Di atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbalas itu, beliau telah diberikan beberapa penghormatan dari dalam dan luar negara. Antaranya Pingat Sultan Ibrahim (1947), anugerah Johan Mangku Negara (1958), pingat Lady of Myanmar dari Kerajaan Myanmar dan pingat Tun Fatimah (1974), Tokoh Guru Kebangsaan Pertama dan Ijazah Kehormat Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya, Ijazah Kehormat Sarjana Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975), anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri (1979) dan MPSI memberi anugerah Suluh Budiman (1980).

Meninggal Dunia

Ibu Zain meninggal dunia pada 2 April 1989 di Johor Bahru kerana sakit tua dan dikebumikan di Makam Mahmudiah, Johor Bahru.

Keluarga

Berbeza dengan kaum wanita yang sezaman dengannya, beliau lewat mendirikan rumah tangga. Ibu Zain berkahwin dengan Encik Haji Amin bin Ahmad pada tahun 1934 pada usia 31 tahun. Hasil perkongsian hidup, mereka dianugerahkan tiga cahayamata. Khalidah Adibah adalah yang paling menonjol. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya, Adibah Amin.


6) Aminuddin Baki

Hasil carian imej untuk aminuddin baki

Dato' Seri Aminuddin Baki (26 Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Penyata Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

Pada 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta sempena hari keputeraan Sultan Perak bagi mengenang jasa Aminuddin.

Kehidupan awal

Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926, Aminuddin memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941. Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli.

Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Persuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu, beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

Kerjaya

Setelah menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Aminuddin kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sebentar waktu dan kemudian, berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang menaiki kapal pada 12 Julai 1952. Aminuddin memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953. Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.

Beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)

Meninggal dunia

Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang.Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. 'Tabung Pendidikan Aminuddin Baki' telah dilancarkan dan akhbar The Strait Times telah memberi kerjasama berkempen mengutip derma daripada orang ramai. Pejabat Strait Times di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh ditugaskan untuk menerima sumbangan .Menteri Pelajaran ketika itu ialah Mohamed Khir Johari (Tan Sri). 

Pidato Umum Aminuddin Baki

Jawatan tertinggi beliau ialah Ketua Penasihat Pelajaran. Tun Hamdan Sheikh Tahir menyifatkan beliau sebagai `Bapa Pendidikan Moden Malaysia’. Dalam bidang pendidikan Aminuddin telah mempelopori berbagai aspek pendidikan seperti kurikulum, pentadbiran, aspek bahasa pengantar, falsafah pendidikan negara bahkan semua aspek yang menyentuh masalah pendidikan negara .

Sumbangan

Antara sumbangan Aminuddin Baki termasuk seperti berikut: 
(i) Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran) 
(ii) Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata Razak pada tahun 1955. 
(iii) Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960: 
(iv) Mewujudkan Sijil rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). 
(v) Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Ulasan