TOKOH-TOKOH DI MALAYSIA I: KERIS MAS, RAHIM KAJAI & DATO ONN JAAFAR




1) Keris Mas

Imej yang berkaitan

Kamaluddin Muhamad ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau lebih dikenali sebagai Keris Mas. Beliau seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik.

Beliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922. Menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong; Sekolah Tawalib di Sumatera iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Keluarganya berharap beliau akan bekerja sebagai guru agama. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera (Maktab Perguruan Islam) bagi melayakkan beliau menjadi seorang guru. Beliau juga mempelajari bahasa Belanda. Kemudian, beliau belajar di Pitman College, Singapura (1940) untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti London. Namun, pengajiannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus.


Politik

Beliau pernah terbabit dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang dan menjadi Exco penerangannya. Pada 1947, Keris Mas hadir dalam Kongres PKMM di Singapura mewakili negeri Pahang.


Kerjaya

Semasa penjajahan Jepun, Keris Mas bekerja sebagai kerani di gudang percetakan Dai Nippon Insatsu di Singapura.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu pada 1948, beliau berkhidmat di akhbar Melayu Raya dan Warta Negara sebelum berpindah ke Utusan Melayu di Singapura. Tumpuan tugas beliau ialah memastikan majalah Mastika dan akhbar Utusan Zaman mendapat tempat di hati pembaca.

Beliau berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka setelah dijemput oleh Ungku Aziz yang menjadi pengarah DBP cawangan Johor Bharu sebagai Ketua Bahagian Pengarang (1 Julai 1966 – 30 Jun 1971) dan sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai 1 Julai 1971 hingga 10 Jun 1977. Beliau bertangungjawab sebagai Ketua Pengarang majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa. Keris Mas bersara pada tahun 1977.


Kegiatan persatuan

Keris Mas ahli aktif dalam Angkatan Sastera 50 atau 'Asas 50' Novel dan cerpen Asas 50 cenderung kepada 'Seni untuk Masyarakat'. Mereka pernah menghantar 'Memoranda Asas 50' kepada kerajaan dan membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu. Kegigihannya menyebabkan beliau dilantik sebagai Ketua Satu ASAS 50.

Semasa berkhidmat di DBP, beliau aktif dalam Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).


Penulisan

Keris Mas dalam berkarya telah menghasilkan 60 buah cerpen dengan cerpen pertamanya berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar di majalah Suluh Malaya (1 Jun 1946). Semua cerpen-cerpennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Antologi cerpen Patah Tumbuh juga pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM.

Antara novel penghasilan Keris Mas ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985). Novel Rimba Harapan telah diterjemahkan oleh Adibah Amin kepada 'Jungle of Hope' dan diangkat sebagai teks kajian komponen sastera, Bahasa Inggeris SPM.

Beliau banyak menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan. Novel pertamanya, Pahlawan Rimba Malaya (1976) lebih pendek daripada manuskrip asalnya kerana penerbit berhadapan kekurangan kertas. Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya ditulisnya selepas pendudukan Jepun sementara Korban Kesuciannya (1949) ditulisnya semasa bekerja di Utusan Melayu. Anak Titiwangsa (1967) pula dihasilkan semasa di DBP.

Selaku Pegawai Penerangan PKMM, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan bertajuk “Darah dan Air Mata” (majalah Kenchana ; 15 Oktober 1947). Antara 1950–1960-an, beliau cukup aktif menghasilkan cerpen bermutu berkisar tentang masyarakat Melayu tempatan dan berunsur didaktik (bertujuan mengajar).

Persoalan yang relevan pada masa itu yang digarap oleh beliau ialah soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat dan sosial-politik sesudah merdeka 1957. Semua persoalan berdasarkan pengalaman Keris Mas di Pahang dan seluruh Tanah Melayu/Singapura sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah merdeka, 1957.


Penghargaan

Beliau dipilih sebagai penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun (1 Julai 1977 hingga 30 September 1978). Sebagai Penulis Tamu, beliau menulis memoir mengenai penglibatannya dalam perkembangan sastera sepanjang 1945–1977. Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya (1979–1980) dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Pada 1980-an, Keris Mas menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur – novel sosiopolitik yang disiarkan setiap minggu di akhbar Mingguan Malaysia.

Beliau dilantik sebagai Penulis Tamu DBP sekali lagi (1985–1986) dan berjaya menghasilkan sebuah novel yang berjudul Rimba Harapan.

Beliau menerima 'Anugerah Pejuang Sastera' dan membawa pulang RM10 000.00, watikah daripada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn pada 29 Mei 1976. Perdana Menteri melantik beliau sebagai Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971–1976), dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara 1979. Beliau penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama (1981). Majlis diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Pada tahun 1987, beliau menerima Anugerah ASEAN (dalam bidang kesusasteraan).

Keris Mas juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989


Hasil penulisan

Anak Titiwangsa : DBP, 2010.
Darah dan air mata : kumpulan cerpen pilihan : DBP, 2006.
Saudagar Besar dari Kuala Lumpur: DBP, 2003.
Sasterawan negara Keris Mas : tanggapan tokoh dan sarjana/ diselenggarakan oleh A. Karim Abdullah & A. Rahim Abdullah : DBP, 2001.
Jungle of hope / Keris Mas ; (terjemahan) Adibah Amin. : DBP, 2000.
Koleksi terpilih sasterawan negara Keris Mas / penyelenggara A. Rahim Abdullah: DBP, 1995.
Dua novel Keris Mas : Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya / diselenggarakan oleh A. Karim Haji Abdullah : DBP, 1993.
Kumpulan cerpen 1946-1989 : DBP, 1992.
Patah tumbuh : Cerita-cerita pendek dikumpulkan dan dibicarakan oleh Syed Husin Ali :Fajar Bakti, 1991
Perbincangan gaya bahasa sastera : DBP, 1988.
Rimba harapan : DBP, 1986.
Blood and tears: Fajar Bakti, 1984
Esei pilihan Keris Mas : kesusasteraan, bahasa, dan kemasyarakatan / disusun oleh A. Bakar Hamid.: DBP, 1981.
Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, 1981 : DBP, 1981.
Terjemahan ke dalam bahasa Rusia
Keris Mas. Nashi Torgovie Ryadi (Kedai Sederet Di Kampung Kami). Terjemahan B. Parnikel – U Obochini Shosse. Rasskazi Sovremennih Malayskih Pisatelei (Di Tepi Jalan. Cerita Pendek Penulis Melayu Moden). Penyusun B. Parnikel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1963.
Keris Mas. Oni Ne Ponimayut (Mereka Tidak Mengerti). Terjemahan R. Korigodsky – Sovremennaya Malayziyskaya Novella (Cerita Pendek Malaysia Moden). Penyusun V. Sigaev, B. Parnikel. Prakata oleh B. Parnikel. Moscow: Progress, 1977.
Keris Mas. Chudo-Pechka (Dapur Ajaib). Terjemahan E. Cherepneva – Aziya i Afrika Segodnya (Asia dan Afrika Hari Ini), 1979, № 5, hlm. 11-16.
Keris Mas. Oni Ne Ponimayut (Mereka Tidak Mengerti). Terjemahan R. Korigodsky – Izbrannie Proizvedeniya Pisateley Yugo-Vostochnoy Azii (Karya Pilihan Penulis Asia Tenggara). Moscow: Khudozhestvennaya Literatura, 1981.
Meninggal dunia
Keris Mas atau Kamaludin Muhamad meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Beliau terlantar di hospital beberapa lama kerana penyakit misteri.

Beliau meninggalkan isteri Roswita Ali, dua anak Hayati dan Amir, dan tujuh orang cucu.




2) Rahim Kajai

Hasil carian imej untuk rahim kajai

Kajai dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Beliau terkenal dalam kalangan orang banyak atau melalui karya-karya penulisannya dengan nama Abdul Rahim Kajai dan yang ringkas sekali, Kajai. Bapa Abdul Rahim Kajai, Salim Kajai berasal dari Kampumg Kajai Minangkabau, Sumatera. Sempena dengan nama kampung tersebut, ayah beliau yang bernama Salim dipanggil Salim Kajai.

Setelah kembali dari Mekah pada tahun 1909, Kajai bekerja sebagai penjilid dan kemudiannya menjadi pengatur huruf Melayu di pejabat cap kerajaan di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun. Di samping bekerja sebagai wartawan, Kajai juga melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sukarela. Semasa menjadi wakil khas Warta Malaya, Kajai dilantik menjadi ahli kehormat “Persidangan Melayu Setapak” yang diketuai Muhamad Zakariah. Kajai tidak ketinggalan melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dan pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid Setapak. Kajai berhenti secara rasmi dari menjadi pengarang Warta Malaya dan terus berkhidmat sebagai pengarang dengan Utusan Melayu, iaitu sebuah akhbar yang dimodali dan dimiliki oleh ‘orang Melayu jati’ pada bulan Ogos 1939.

Tidak berapa lama kemudian Kajai telah diberi tanggungjawab mengetuai sidang pengarang syarikat Utusan Melayu. Pada tahun 1912-1913, beliau pergi ke Singapura untuk bekerja sebagai pengantar huruf Inggeris di syarikat Malaya Publishing House. Ketika usianya 26 tahun (1919/1920), beliau mula meminati bidang kewartawanan. Beliau pernah menyumbangkan rencana-rencana berkenaan sosial dan agama serta berita di dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu.

Antara sumbangan Kajai dalam dunia persuratan melayu merangkumi Akhbar Saudara (1930-1931), Akhbar Majlis (1931-935), Syarikat Akhbar Warta Malaya (1935-1939) dan Syarikat Akhbar Utusan Melayu ( 1939-1940). Kegigihan Abdul Rahim Kajai dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan serta memberi sumbangan ke arah kemajuan serta perkembangan bangsa dan bahasa Melayu memang tidak dapat disangkal lagi. Ini telah beliau lakukan dalam bidang persuratan yang memang berkait rapat dengan bidang bahasa . Oleh itu tidaklah hairanlah beliau layak digelar sebagai “Bapa Wartawan Melayu’ oleh para pengkagum dan pengkritiknya. Tulisannya dalam akhbar-akhbar serta majalah-majalah banyak memberi aspirasi dan motivasi kepada sesiapa jua yang membaca dan menghayatinya.



3) Dato Onn


Imej yang berkaitan

Dato' Sir Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962) merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.


Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Batu Pahat, Johor serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.

Beliau pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, beliau menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.


Wartawan

Beliau bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Rencana tulisan beliau sering mengkritik masyarakat Melayu dan mendesak agar perubahan dilakukan. Onn Jaafar mendapati orang-orang Cina tidak segan berkebun sayur , membuka kedai jahit dan lain-lain pekerjaan yang dianggap rendah oleh orang Melayu. Beliau dilantik menjadi pengarang Warta Malaya mulai 1 Januari 1930 hingga penghujung 1933.


Dibuang ke Singapura

Pada tahun 1917, Sultan Johor mengarahkan Onn Jaaafar menyertai Pasukan Tentera Johor (JMF) dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Jawatan tertinggi beliau ialah Leftenan. 'Johor Malay Force' ini ditubuhkan oleh Sultan Abu Bakar.

Pada 1920 beliau bekerja semula di Pejabat Penasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.

Dari tahun 1927-1936 Onn Jaafar dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF. Sultan Ibrahim telah memerintahkan supaya mendakwa Sunday Mirror, tetapi perkara itu lenyap begitu sahaja.

Pada awal bulan Oktober 1930, Onn Jaafar mengkritik perkahwinan Sultan Ibrahim dengan Helen Wilson (1889-1978) seorang wanita England. Pada 12 Mac 1934, baginda mengelilingi dunia diiringi Sultanah Helen Wilson dan Setiausaha Sulitnya, Kapten Sheikh Abdullah Yahya.


Pegawai daerah vs Selempang Merah

Beliau bertugas sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat era pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan. Onn Jaafar menggantikan tempat Encik Ismail bin Datul Abdullah bin Abdul Rahman, pegawai daerah yang telah dibunuh dengan secara kejam oleh gerila-gerila 'Bintang Tiga' di Benut pada 10 Jun 1945.

Selepas Jepun menyerah kalah, ramai orang Melayu yang bekerja sebagai polis dan ketua kampung telah ditangkap, hilang dan dibunuh oleh MPAJA antara Mac-April 1945  Parti Komunis Malaya sejak hujung 1944 telah menyerang balai polis Jepun dan konvoi . Rasa benci orang Melayu terhadap orang Cina memuncak lalu menubuhkan tentera sabilillah. Onn Jaafar atas arahan Sultan Johor telah berunding dengan Kiai Salleh supaya menghentikan sengketa Melayu-Cina itu. Kemaraan Tentera Selempang Merah yang berbekal tangkal azimat dan citra jihad berjaya disekat. 


Pengasas UMNO

Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan beliau amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik beliau sebagai presiden pertama.

Pada 1 Jun 1947, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.

Beliau kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau anggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO serta mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentang, beliau meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.


Keluarga

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.


Garis masa

1895: Dilahirkan di Seri Gambir, Johor Bahru .
1901 Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.
1902 Ibunya Rugayah meninggal dunia
1903 Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.
1910 25 Mac kembali ke Johor dengan perawakan Barat.
1910-1911 Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
1911 Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
1911 Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah (gadis Cina yang merupakan anak angkat bapanya). Mendapat empat orang anak dan isterinya meninggal dunia beberapa tahun kemudian.
1915 Berkahwin kali kedua dengan Che Jamilah dan mendapat seorang anak iaitu Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
Berkahwin kali ketiga dengan Che Kah, seorang pelakon bangsawan.
1917 Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat Leftenan.
1919 Berkahwin kali keempat dengan Halimah Hussein, janda adiknya. Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.
1920 Bekerja semula di Pejabat Penasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.
1922 Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.
1923 Pegawai di Pejabat Tanah Muar
1924 Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.
1927 Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.
1927-1936 Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.
1930-1936 (umur 35): Bertugas sebagai wartawan akhbar-akhbar Melayu di Singapura
1934 (umur 39): Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga.
1936-1941 Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor
1942 – 1945: Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor
1945-1946 Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat
1946-1949 Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.
1946 Menganjurkan Kongres Melayu 1946
1946-1951 (umur 52): Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947.
1949 (umur 54): Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.
1951 Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).
1951 (umur 56): Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.
1951 Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
1954 (umur 59): Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.
1955 Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955
1959 Ahli Dewan Rakyat - sebagai anggota pembangkang (dikatakan menyertai PAS).
1959 (umur 64): Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan.
1962 (umur 67): Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Senarai karya
Sumpah Melayu (1946)


Ulasan